Artikel di bawah saya dapat dari sini dan saya sharekan dengan kawan-kawan tersayang!
Pssst..saya bukan bersikap provokasi tapi it's worth to read.
MENGAPA TUN MAHATHIR SEDIH?
SAYA sedih. Bukanlah saya berharap kerana kesedihan saya akan
menarik simpati sesiapa. Hanya saya ingin menyatakan perasaan saya- perasaan
apabila melihat kaum bangsa saya, orang Melayu, begitu sekali tidak tahu
bersyukur, begitu sekali mudah lupa, begitu sekali mudah dipengaruhi dan
diperalat oleh orang lain sehingga sanggup memburukkan bangsa sendiri.
Bagi generasi yang dilahirkan selepas merdeka
tentulah mereka tidak merasai sendiri kehinaan yang dialami oleh orang Melayu
semasa mereka dijajah dahulu. Tetapi takkanlah mereka tidak baca sejarah bangsa
mereka.
Jika mereka sudah lupa, jika mereka tidak dapat
memahami pahit maung, pedih perit bangsa yang dijajah, izinkan saya yang biasa
dengan tiga penjajahan bercerita sedikit berkenaan orang Melayu semasa dijajah.
Rata-rata mereka miskin, tidak berilmu pengetahuan,
tidak memiliki apa-apa kecekapan, tidak terdaya mempertahan negeri-negeri
mereka. Mereka terpaksa bertuankan orang putih Inggeris yang mereka terima
sebagai Tuan mereka di negeri mereka sendiri. Mereka bukan tuan rumah. Mereka
sebenarnya hamba rumah yang diduduki orang lain.
Orang putih, secara terbuka menyatakan orang Melayu
adalah bodoh dan malas, tidak mampu menyumbang apa-apa kepada pembangunan
negeri-negeri mereka. Mereka hanya layak jadi pemandu kereta dan orderly atau
budak pejabat atau kerani. Mereka dianggap tidak berkebolehan melaksanakan
apa-apa kerja yang dipertanggungjawab kepada mereka. Orang asing dari India dan
Cina perlu dibawa masuk untuk mengatasi masalah Melayu malas dan tidak cekap.
Datang Jepun. Orang Melayu hilang jawatan
perkeranian dan jawatan-jawatan rendah yang lain. Mereka terpaksa jadi penjual
pisang di tepi jalan - kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Jika tidak tunduk serendah mungkin apabila lalu di
hadapan askar Jepun, mereka dipaksa tatang ketulan batu yang besar sehingga
mereka pening dan jatuh. Mereka diarah panjat pohon kelapa untuk dapat buah
kelapa bagi askar Jepun. Jika gagal mereka ditempeleng dan terbongkok-bongkok
meminta maaf daripada askar Jepun.
Tanpa bertanya sedikitpun akan pandangan orang
Melayu sebagai pemilik negeri-negeri Melayu, Jepun menghadiahkan empat buah
negeri Melayu, iaitu Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu kepada Siam, kerana
membalas budi Siam.
Di bawah pemerintahan Siam, orang Melayu diarah
supaya menghormati lagu kebangsaan Siam dan bendera Siam. Saya lihat sendiri
seorang orang tua Melayu yang tidak turun basikalnya semasa lagu kebangsaan
Siam dimainkan, ditendang di kepala oleh askar Siam apabila lagu berhenti dan
ia jatuh terlentang di atas jalan. Saya dan beberapa Melayu lain tidak berani
menolong orang tua yang telah jatuh. Kami bangsa yang dijajah dan boleh
ditendang oleh sesiapa yang menjajah bangsa kami. Jangan siapa tolong.
Kemudian, British kembali dan raja-raja Melayu
diugut akan diturunkan dari takhta mereka jika tidak tandatangan perjanjian Mac
Michael supaya negeri-negeri Melayu diserah secara langsung kepada British. Dan
raja Melayu pun tandatangan dan diturunkan pangkat kepada kadi besar negeri
mereka.
Cadangan Malayan Union British bertujuan menamatkan
negeri-negeri Melayu sebagai Tanah Melayu, milik orang Melayu. Ia akan jadi
milik siapa sahaja yang mendapat taraf rakyat Malayan Union milik British.
Dalam keadaan orang Melayu begitu miskin, daif dan
tidak berilmu pengetahuan, tidak memiliki apa-apa kecekapan, tidak mempunyai
senjata, tidak tahu berniaga, sudah tentu mereka akan menjadi kuli dan hamba
kepada orang lain yang lebih pintar, lebih cekap dan lebih kaya daripada
mereka. Sudah tentu tidak akan ada Tanah Melayu, tanah tumpah darahnya orang
Melayu. Mereka akan jadi bangsa yang tidak bernegara, tidak bertanahair. Tidak
ada masa depan bagi mereka.
Alhamdulillah. Di saat itu mereka tiba-tiba sedar.
Berkat beberapa kerat di antara mereka yang terpelajar yang tahu akan
malapetaka yang menanti bangsa mereka, mereka ketepikan sikap kenegerian mereka
dan kesetiaan kepada raja masing-masing atau kepada keturunan mereka. Mereka
bersatu dan bangun menentang rancangan Malayan Union British. Perpaduan Melayu
yang tumpat ini, pendirian mereka yang tidak berbelah-bahagi berkenaan penolakan
Malayan Union memaksa British gugurkan rancangan mereka dan kembalikan
negeri-negeri Melayu bersama Pulau Pinang dan Melaka yang dimiliki British
kepada orang Melayu. Maka terselamatlah orang Melayu dan negeri mereka.
Malangnya sekembalinya sahaja Semenanjung Tanah
Melayu ke tangan orang Melayu, maka bermulalah rebutan untuk nikmat yang datang
dengan pemerintahan sendiri, khususnya untuk menjadi ahli dalam dewan-dewan
negeri dan dewan undangan Persekutuan. Keahlian ini menjanjikan pangkat, elaun
dan lain-lain kemudahan.
Untuk bekerja sebagai budak pejabat memerlukan
kelulusan tertentu. Tetapi untuk menjadi Yang Berhormat, menteri, bahkan
Perdana Menteri tidak memerlukan apa-apa sijil atau kelulusan.
Yang kecewa, yang tidak dapat nikmat yang dikejar
lupa akan nikmat perpaduan dan mereka tinggalkan UMNO untuk tubuh kesatuan
mereka sendiri. Dengan ini mereka akan dapat dicalon oleh parti mereka untuk
bertanding dalam pilihan raya yang akan datang.
Kumpulan pertama yang menubuh parti serpihan
terdiri daripada ulama dalam UMNO yang kecewa kerana permintaan mereka supaya
10 daripada mereka dicalonkan oleh Tunku Abdul Rahman ditolak olehnya dan hanya
satu sahaja yang diberi kepada kumpulan ini.
Tetapi Tuhan Maha Kaya. Rata-rata orang Melayu
terus menyokong UMNO yang mana ini memberi kemenangan kepada UMNO dan
rakan-rakannya. Demikianlah besarnya sokongan ini sehingga British terpaksa
serah kuasa kepada Perikatan ciptaan UMNO. Jika Parti Islam mendapat lebih
daripada satu kerusi, nescaya kemerdekaan tidak tercapai pada 1957.
Tanpa merampas hak orang lain, pemerintahan yang
bertunggak kepada Melayu berjaya membangunkan negara dan memberi kepada bangsa
Melayu dan bumiputera lain pelajaran, latihan dan peluang yang tidak pernah
dinikmati oleh mereka semasa dijajah.
Berkat semua ini maka terpulihlah maruah bangsa
Melayu. Alhamdulillah.
Ramalan bahawa pemerintahan yang dipimpin Melayu
ini akan merampas hak dan harta kaum lain tidak menjadi kenyataan. Sebaliknya
pimpinan yang diterajui Melayu berjaya memajukan negara sehingga dikagumi
dunia.
Semua ini terang dan nyata. Dunia akui kebolehan
orang Melayu yang memimpin Malaysia. Tetapi mereka belum sampai ke tahap
bersaing dengan kaum lain terutama dalam bidang perniagaan dan perusahaan.
Malangnya kejayaan yang sedikit ini telah
menjadikan mereka bongkak dan tamak. Rebutan kuasa antara mereka terus berlaku
dan rebutan yang berpunca kepada ketamakan individu tertentu menyebabkan
perpecahan dan serpihan daripada parti utama mereka.
Mereka yang kecewa kerana gagal merebut tempat
menghasut ahli-ahli dan pemimpin kerdil untuk menyertai mereka, untuk
menjayakan hasrat sempit mereka merebut kuasa, terutama untuk menjadi Perdana
Menteri. Untuk ini mereka membohong, menyalahtafsir agama, menyokong orang lain
yang tidak suka melihat orang Melayu meraih walaupun sedikit kekayaan,
kedudukan dan nikmat yang terdapat di negara ini.
Hasilnya ialah perpaduan Melayu diganti dengan
perpecahan. Orang Melayu yang dahulu digeruni oleh British kerana kukuhnya
perpaduan mereka, sekarang berpecah kepada tiga kumpulan kecil yang terpaksa
mengemis untuk mendapat sokongan orang lain termasuk mereka yang menentang
segala usaha untuk mengimbangkan kedudukan orang Melayu dengan kaum-kaum lain. Sokongan
orang lain ini tidak diberi secara percuma. Jika mana-mana daripada parti
Melayu ini memenangi pilihan raya dan mendirikan Kerajaan, tak dapat tidak
Kerajaan ini akan terpaksa mengikuti telunjuk orang lain. Melayu tidak lagi
akan menjadi tunggak kepada pemerintahan negara yang mereka rela berkongsi
dengan orang lain. Mereka akan jadi puak minoriti dalam pakatan yang mereka
sertai. Inilah yang akan terjadi hasil perpecahan orang Melayu.
Siapakah yang membawa malapetaka ini. Tak lain tak
bukan malapetaka ini dibawa oleh orang Melayu sendiri - orang Melayu yang tamak,
orang Melayu yang kurang pintar, orang Melayu yang mudah dipengaruhi nafsu,
yang mudah dikuasai oleh perasaan benci apabila dihasut.
Orang Melayu sudah lupa akan betapa hinanya mereka
semasa dijajah dahulu. Mereka tidak pun mengakui akan nikmat yang banyak yang
dinikmati oleh mereka setelah merdeka dan mereka menerajui Kerajaan - Kerajaan
Malaysia merdeka.
Oleh kerana lupa dan tidak bersyukur, mereka rela
supaya perpaduan yang memberi kekuatan kepada mereka dimusnahkan. Mereka
sanggup dipecah dan dipisah daripada kuasa yang sedikit yang ada pada mereka.
Sebab inilah yang saya sedih. Bangsa saya jelas
tidak dapat menangani kejayaan. Bangsa saya mudah lupa. Bangsa saya tidak tahu
bersyukur. Bangsa saya tidak tahu mengambil iktibar daripada nasib yang menimpa
kaum sebangsa yang hari ini tinggal di wilayah yang dikuasai orang lain.
Jangan bersedih dan bersimpati dengan saya.
Bersimpatilah dan bersedihlah dengan diri sendiri, dengan anak cucu yang akan
alami masa depan yang gelap kerana kita tamak dan begitu benci kepada bangsa
dan pemerintahan oleh kita sendiri.
No comments:
Post a Comment